Virtue Trustee Perkenal Penyelesaian Perlindungan Kekayaan Selari Kerangka MADANI

Source: BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Virtue Trustee Bhd (VTB) hari ini melancarkan rangkaian komprehensif penyelesaian perancangan amanah, amanah Islam dan legasi yang bertujuan menyediakan perlindungan kekayaan yang profesional, selamat dan telus kepada semua rakyat Malaysia, selari dengan nilai teras Kerangka MADANI negara.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan perkhidmatannya menyokong keperluan pelanggan individu dan korporat, merangkumi pentadbiran harta pusaka, amanah keluarga, amanah hibah serta perkhidmatan pemegang amanah korporat.

“Kesemua perkhidmatan ini memastikan aset diurus secara bertanggungjawab, dipelihara merentasi generasi dan diagihkan mengikut hasrat pemilik,” menurut kenyataan itu.

Antara penawaran utama VTB ialah Amanah Hibah, iaitu satu mekanisme hibah semasa hidup berlandaskan prinsip Islam yang membolehkan individu mengagihkan kekayaan mereka ketika masih hidup, selaras dengan pegangan dan kepercayaan agama.

VTB menjelaskan bahawa struktur ini memastikan aset kekal dilindungi, diurus secara profesional serta diagihkan dengan jelas tanpa pertikaian.

Syarikat itu turut menawarkan Amanah Takaful, yang menggabungkan manfaat insurans Islam dengan perlindungan sebuah amanah, bagi memastikan hasil takaful dipelihara untuk kebajikan jangka panjang para benefisiari.

Pengerusi VTB, Datuk Mazlan Ahmad, berkata masih ramai beranggapan bahawa amanah hanya sesuai untuk golongan berada. Namun hakikatnya, amanah merupakan satu struktur perundangan yang memisahkan pemilikan daripada kawalan dan diurus secara profesional.

Beliau berkata, amanah keluarga merupakan instrumen pengurusan kekayaan yang mudah diakses oleh masyarakat umum dan boleh diwujudkan menggunakan aset milik penuh bermula daripada puluhan ribu ringgit.

“Bagi keluarga Malaysia, amanah keluarga bukan sekadar satu struktur. Ia adalah janji praktikal terhadap keselamatan dan kesinambungan.

“Ia melindungi rumah atau perniagaan keluarga daripada kejadian tidak dijangka, memastikan kekayaan yang dikumpul digunakan untuk pendidikan serta pencapaian positif, dan menyediakan kaedah sulit untuk mewariskan nilai bersama-sama aset,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top